Sebuah makmal dadah yang diserbu polis di Mantin, Negeri Sembilan, semalam.
Sindiket bernilai jutaan ringgit itu dikatakan mengubah operasi mereka ke Mantin, Negeri Sembilan untuk mengelakkan kegiatan itu disedari oleh pihak berkuasa selain serbuan demi serbuan dilaksanakan polis di sekitar Selangor sepanjang tahun lalu.
Difahamkan, dalang utama sindiket yang berusia 45 tahun sebelum ini pernah aktif di Selangor tetapi mengubah operasi ber­kenaan dengan membuat makmal memproses dadah yang lengkap dengan segala peralatan penting di sebuah rumah yang diubah suai.
Bagaimanapun sindiket itu tumpas selepas polis menyerbu sebuah rumah kampung di Mantin pada pukul 2.30 pagi semalam dan menahan tiga suspek yang sedang sibuk memproses dadah.
Dua daripada suspek difahamkan tidak bekerja, manakala seorang lagi adalah peniaga binatang peliharaan.
Turut dirampas dalam serbuan itu adalah dua pucuk pistol, sebutir bom tangan serta lebih 40 peluru hidup.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam sidang akhbarnya berkata, nilai rampasan dadah dalam serbuan itu adalah sebanyak RM14.3 juta serta RM1.5 juta lagi adalah nilai sitaan harta.
Katanya, susulan serbuan di sebuah rumah di Mantin dan membongkar makmal dadah itu, JSJN kemudian membuat tiga lagi serbuan di Nilai serta Sungai Pelek, Puchong dan Kuala Kubu Bharu di Selangor.
“Hasil semua serbuan itu, polis telah menahan seramai 11 warga tempatan termasuk dua wanita berusia antara 32 dan 65 tahun. Dalang sindiket itu turut ditahan.
“Dalam serbuan itu kita turut menemui pelbagai tiga pucuk pistol jenis ‘tanfoglio’, ‘cz75d compack’ dan ‘parabellum girsan’ serta senapang angin yang diperbuat di Taiwan. Enam kelopak peluru, 75 peluru serta sebutir bom turut dirampas,” katanya yang memberitahu polis sedang menyiasat akaun bank suspek.
Dalam perkembangan berkaitan, Khalid memberitahu, permintaan terhadap syabu dan ekstasi masih lagi tinggi di dalam negara.
Katanya, dalam tempoh 1 hingga 14 Januari tahun ini sahaja, polis telah menahan seramai 8,347 individu yang mempunyai kesalahan dadah dan 2,005 daripadanya adalah mereka yang memiliki dadah.
“Nilai keseluruhan rampasan dadah adalah sebanyak RM10.4 juta, manakala nilai sitaan harta berkait kes dadah adalah RM4.5 juta serta RM0.23 juta lagi adalah harta yang telah dilucutkan,” ujarnya.