PALONG - “Rindu memang rindu, menangis pun sudah tak terkira banyaknya. Pulanglah Miji. ayah dah tak ada.
"Mak nak anak mak balik, adik-adik semuanya rindukan Miji."
Itu luahan seorang ibu tunggal di Felda Palong 1 di sini yang masih mengharapkan anak sulungnya, Mohd Tarmizi Mokhtar, 44, pulang semula ke pangkuan keluarganya selepas menghilangkan diri sejak 4 tahun lalu.
Penerokawati Felda Palong 1, Rohani Sulaiman, 64, berkata, dia tidak pernah putus asa mencari anaknya itu sejak dia keluar rumah sekitar tahun 2012.
“Kami memang tidak ada masalah dengan Miji (panggilan kepada Mohd Tarmizi), namun mak cik percaya dia bertindak sedemikian kerana fikirannya bercelaru.
“Mungkin ketika itu dia baru kehilangan isteri tersayang yang meninggal dunia semasa melahirkan anak kembar perempuannya yang kini berusia 4 tahun,” katanya ketika ditemui di kediamannya, kelmarin.
Rohani berkata, Mohd Tarmizi seorang duda mempunyai lima cahaya mata perempuan yang kini dijaga keluarga mertuanya di Johor.
Bagaimanapun, sebelum menghilangkan diri, Mohd Tarmizi sempat meninggalkan sepucuk surat yang menyatakan tujuannya berbuat demikian untuk mencari pekerjaan dan belanja anak-anak.
“Kali terakhir mak cik dan arwah suami, Mokhtar Talib berjumpa dengannya pada pagi hari keempat Ramadan tahun 2012, iaitu waktu Subuh sebelum kami bertolak ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah kerana ada urusan.
“Apabila pulang sahaja ke rumah kami lihat ada sepucuk surat ditinggalkan Miji di atas meja telefon. Sehingga kini kami gagal menghubunginya.
“Malah sebelum arwah suami meninggal dunia pada Februari tahun lalu, nama Miji tidak lekang daripada mulutnya. Namun arwah tak sempat jumpa Miji dan hanya ALLAH saja tahu perasaan kami semua,” katanya.
Rohani berkata, dia amat berharap anaknya itu melupakan apa sahaja yang membelenggu dirinya memandangkan dia masih mempunyai keluarga yang menyayanginya.
“Dia satu-satunya anak lelaki mak cik dan memerlukan dia menguruskan pelbagai perkara terutama selepas kematian ayahnya,” katanya
.