IPOH - Dua lori masing-masing membawa muatan lingkaran ubat nyamuk dan buah musnah dalam satu kejadian kebakaran di Kilometer 283.7 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, lewat malam kelmarin.
Kejadian berlaku sekitar jam 12.45 malam itu pada awalnya hanyalah kemalangan selepas lori jenis Mitsubishi Fuso yang membawa muatan buah-buahan sedang dalam perjalanan ke Pasar Borong Selayang dari Padang Besar,
Perlis mengalami masalah brek dan perlahan-lahan berhenti di lorong kecemasan.
Selang lima minit kemudian, sebuah lori jenis Hino E yang membawa muatan lingkaran nyamuk dari arah belakang melanggar bahagian kanan lori muatan buah terbabit menyebabkan kedua-dua kenderaan itu terlajak ke hadapan sebelum terbakar.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong yang mengesahkan kejadian berkata, akibat kejadian itu, dua mangsa yang merupakan kelindan kedua-dua lori terbabit mengalami kecederaan.
“Mangsa yang terlibat seorang lelaki berusia 25 tahun berasal dari Jitra manakala seorang lagi mangsa berusia 22 tahun dari Kuala Nerang, Kedah.
“Pihak Bomba dan Penyelamat turut membantu memadam kebakaran manakala kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Sementara itu, sumber Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri memaklumkan, pihaknya menerima panggilan 12.55 tengah malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai dikerah ke tempat kejadian.
Menurutnya, pihak bomba dan penyelamat menggunakan aliran air bersumberkan tangki jentera dan jentera Prime Mover untuk memadam kebakaran.
“Kedua-dua mangsa yang mengalami kecederaan dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS dan operasi tamat kira-kira jam 6.06 pagi semalam,”  katanya
.