Kesemua suspek berusia lingkungan 19 hingga 42 tahun itu ditahan di beberapa lokasi ber­asingan iaitu di Batu Caves, Kajang, Ulu Yam dan Kampung Baru Su­bang.
Dalam serbuan itu, polis turut merampas tiga buah telefon bimbit, kad kuasa dan lencana unit risikan khas bahagian keselamatan negara, dompet berwarna coklat yang mengandungi dokumen kepunyaan mangsa dan wang tunai RM2,000.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, dalam kejadian pada 22 Januari lalu, mangsa, 32, dipercayai telah diculik oleh dua lelaki yang menaiki kereta berwarna putih ketika sedang bekerja di sebuah kedai runcit di USJ 14, dekat sini.
Menurut beliau, salah seorang suspek telah menghubungi ahli keluarga mangsa di Bangladesh dan meminta wang tebusan RM400,000 atau mengugut untuk membunuh mangsa.
Ujarnya, berdasarkan maklumat dan risikan pihak polis, dua suspek warga Myanmar berusia 23 dan 33 tahun ditahan di Jalan Semenyih, Kajang pada 25 Januari lalu.
“Susulan penangkapan tersebut, pihak polis berjaya menahan tiga lagi suspek di Prima Sri Gombak, Ulu Yam dan Kampung Baru Subang. Bagaimanapun, dua lagi lelaki warga Bangladesh dan Myan­mar berjaya melarikan diri.
“Kita juga berharap orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini dapat tampil memberikan kerjasama dan kes disiasat di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan,” katanya.