SHAH ALAM - Polis Selangor percaya berjaya menyelesaikan lebih 50 kes samun rumah mewah di sekitar Lembah Klang dan Negeri Sembilan berikutan tertangkapnya lima lelaki termasuk empat warga asing di tiga lokasi berasingan pada 12 dan 14 Januari lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata, kesemua suspek berusia antara 32 dan 44 tahun, ditahan menerusi 'Op Rantau' oleh pasukan khas yang ditubuhkan bagi menyiasat kes-kes samun tersebut.
"Pasukan khas ini ditubuhkan bagi menyiasat beberapa kejadian samun rumah mewah di daerah Kajang termasuk terbaharu rumah seorang pengarah syarikat di Country Heights, yang disamun empat lelaki warga asing bersenjata yang melarikan 22 utas jam tangan dan barangan kemas bernilai kira-kira RM100,000 pada 12 Januari lepas.
"Susulan kejadian di rumah pengarah syarikat itu, pasukan khas ini giat mencari maklumat dan akhirnya berjaya menahan tiga lelaki warga Indonesia berusia 32 hingga 42 tahun di Flat Persiaran Desa Serdang, kira-kira 7.30 petang pada hari sama (12 Jan)," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Mohd Adnan berkata, tangkapan itu membawa kepada penahanan seorang lelaki warga tempatan berusia 44 tahun di Bandar Tasik Selatan di sini, kira-kira 10 pagi dan seorang lelaki warga Indonesia berusia 41 tahun di Jeti Stulang Laut, Johor Bahru, kira-kira 2.30 petang, kedua-duanya pada 14 Januari lepas.
Dalam serbuan di flat berkenaan, beliau berkata pihaknya merampas 49 jenis barang kemas bernilai kira-kira RM80,000, 79 utas jam tangan pelbagai jenama bernilai kira-kira RM200,000, sebilah parang, lima telefon bimbit, pelbagai mata wang asing dari Vietnam, Kemboja, Filipina dan Arab Saudi, empat sarung tangan, empat topeng muka dan beberapa peralatan pecah rumah.
"Seorang daripada suspek iaitu lelaki warga tempatan terbabit mempunyai lima rekod kesalahan lampau bagi kes pecah rumah dan telah menjalani hukuman. Hasil siasatan juga, kita percaya dan yakin berjaya selesaikan lebih 50 kes samun di Lembah Klang seperti di Kajang, Sungai Buloh, Shah Alam, Petaling Jaya serta Seremban.
"Kita juga akan menyiasat penglibatan kumpulan ini dalam kes-kes samun sejak 2009 sehingga 2015 kerana kumpulan ini dipercayai aktif melakukan kegiatan samun sejak 2009," katanya.   
Mohd Adnan berkata, kesemua suspek kini direman sehingga esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
Beliau turut meminta individu yang pernah menjadi mangsa samun supaya hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang dan berurusan dengan DSP Zulkifli Abu Bakar (019-2413978) atau pegawai penyiasat ASP Rozaiman Hashim (019-3996513) bagi proses pengecaman barangan kemas, serta membantu siasatan.  - Bernam
a