Apa yang berlaku cukup menyayat hati apabila si kecil itu terpaksa menanggung amarah bapanya selepas badannya berbirat di belakang akibat dilibas dengan tali pinggang manakala hidungnya cedera akibat diterajang.
Itulah nasib malang yang diterima oleh seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang menderita lebih seminggu dipercayai didera oleh bapa kandungnya baru-baru ini.
Lebih zalim, kanak-kanak lelaki itu juga tidak diberi makan selama beberapa hari selain lampin yang dipakainya juga tidak ditukar hampir tiga minggu.
Mangsa juga dipercayai diterajang di dalam sebuah teksi milik bapanya di Taman Seri Pulai di Sikamat dekat sini sekitar pukul 11.15 malam, 30 Disember lalu.
Pada hari kejadian, seorang penduduk yang kebetulan melalui kawasan tersebut, S. Andrew, 45, menyedari sesuatu yang pelik berlaku di dalam kereta berkenaan sebelum mendekatinya.
“Semasa dalam perjalanan pulang dari sebuah restoran selepas makan, saya bersama seorang rakan ternampak seorang lelaki memukul bahagian belakang kanak-kanak berkenaan menggunakan tali pinggang.
“Apabila mendekati teksi berkenaan, saya lihat lelaki itu seolah-olah tidur selepas menyedari kehadiran kami manakala anaknya yang hanya dipakaikan lampin sedang menangis,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di sini, hari ini.
Andrew berkata demikian ketika hadir menerima surat penghargaan daripada Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun pada perhimpunan bulanan di IPD Seremban.
Menurut Andrew, lelaki yang berasal dari Rembau dikatakan bertindak luar batasan terhadap kanak-kanak itu selepas ditinggalkan isterinya.
Mereka dipercayai berada di kawasan perumahan di Sikamat dan tinggal dalam teksi tersebut sejak tiga bulan lalu.
“Sebelum ini saya menyedari kanak-kanak itu mengalami luka di bahagian kening kirinya ketika terserempak di lokasi berhampiran namun, tidak mengesyaki apa-apa kerana bapanya memberitahu dia hanya cedera akibat terjatuh,” katanya.
Sementara itu, Muhamad Zaki berkata, suspek yang berumur 32 tahun itu ditahan pada hari kejadian dan telah didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
“Sikap prihatin Andrew yang menghubungi polis dan membantu kes ini sehingga dapat diselesaikan merupakan contoh yang baik dan kita menghargai jasa beliau,” katanya. - UTUSAN ONLINE