DUNGUN - Selepas dua hari insiden berdarah mengorbankan tiga nyawa di Kilometer 101 Jalan Kuala Terengganu -Kuantan, seorang lagi terbunuh di lokasi berhampiran dalam satu nahas jalan raya berhampiran Masjid Hadhari, Paka sini, awal pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.05 pagi itu, seorang lelaki, Asulmi Mohamad@Awang, 31 maut apabila Produa Myvi yang dipandu rakannya, Ab Azim Ab Wahab, 28, hilang kawalan dan terbabas melanggar pokok besar di kilometer 101.5.
Kedua-dua mangsa tersepit terpaksa dikeluarkan oleh sepasukan bomba dari Balai Paka.
Bagaimanapun, Asulmi yang berasal dari  Tok Jiring, Kuala Terengganu cedera parah dan meninggal dunia serta-merta di lokasi kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Paka, Mohamad Jusoh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.12 pagi dan bergegas ke lokasi.
"Sebuah jentera bomba dikejarkan ke lokasi dengan kekuatan tujuh anggota untuk operasi mengeluarkan mangsa tersepit.
"Kedua-dua mangsa tersepit di bahagian pemandu dan penumpang hadapan serta pihak kami mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan mereka.
"Mangsa yang cedera di hantar ke Klinik Kesihatan Paka untuk rawatan segera, manakala mangsa maut diserahkan kepada pihak polis,"katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superitendan Ahmad Zailani Yaacob berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila Produa Myvi dipandu Ab Azim hilang kawalan dan terbabas di sebelah kiri jalan sebelum merempuh sebatang pokok.
"Ketika kejadian kenderaan dipandu dalam perjalanan dari arah Kuantan menghala ke Dungun.
"Berdasarkan pemeriksaan dan siasatan mendapati kenderaan rosak teruk di sebelah kiri iaitu di bahagian tempat duduk mangsa yang terbunuh.
"Pemandu hanya mengalami kecederaan ringan, manakala rempuhan kuat menyebabkan rakannya meninggal dunia kerana kecederaan parah dan mayatnya dihantar ke bahagian Forensik Hospital Dungun untuk tujuan bedah siasat.
"Kes masih dalam siasatan lanjut dan disiasat dibawah seksyen 41 (1) (A) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya
.