TELUK INTAN - Mayat seorang lelaki sudah berbau dipercayai meninggal dunia sejak beberapa hari lalu, ditemui dalam sebuah kereta di Kawasan Perindustrian Anson, Jalan Kampung Banjar di sini, semalam.
Mangsa dikenali J Panjavarnam, 57, ditemui orang awam sekitar jam 10 pagi, lengkap berpakaian berada dalam sebuah kereta Nissan Sunny berwarna putih.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pemeriksaan yang dilakukan di sekeliling lokasi kejadian tidak menemui apa-apa senjata mahupun kesan pergelutan.
Katanya, keadaan kereta juga tidak berkunci, malah barang kepunyaan si mati termasuk dompet berada dalam keadaan baik.
“Pemeriksaan kasar keseluruhan badan si mati tidak menemui unsur-unsur jenayah mahupun perbuatan khianat,” katanya.
Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat kemudiannya dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat.
“Mangsa yang berasal dari Gopeng merupakan bekas pemandu lori mempunyai tiga anak yang kini tinggal di Kuala Lumpur dan sudah lama berpisah dengan isterinya,” katanya.
Mayat mangsa dikeluarkan anggota Bomba dan Penyelamat Teluk Intan
.