Dalam kejadian pukul 5.10 petang itu, mayat wanita warga Thailand, Maphooh Rahongphanadom, 34, kemudian ditemukan dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah di hadapan kediaman mereka di aras satu flat 10 tingkat itu.
Selepas membunuh isterinya, suspek, Lim Seng Hang, 33, yang merupakan rakyat tempatan nekad menggantung diri pada kipas si­ling di bahagian ruang tamu rumah mereka.
Difahamkan, pasangan itu baru dua bulan mendirikan rumah tangga dan suspek bertindak demikian dipercayai kerana cemburu selain menghadapi masalah kewangan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Azmi Adam berkata, siasatan awal mendapati berlaku pertengkaran mulut antara pasangan terbabit sebelum kejadian.
Menurutnya, pertengkaran itu dipercayai bermula selepas wanita Thailand berkenaan mendapati suaminya telah mengeluarkan wang simpanan sebanyak RM4,000 tanpa pengetahuannya.
Dalam masa sama, tambah Azmi, suami wanita berkenaan dikatakan turut tidak berpuas hati dan memarahi isterinya kerana mendakwa dia menjalin hubungan dengan kenalannya.
Ujarnya, pertengkaran itu kemudian berlanjutan dan lelaki ber­kenaan mengambil pisau dan menikam isterinya pada bahagian paha.
“Isteri mangsa kemudian berlari keluar ke depan rumah sebelum berjaya dikejar suaminya yang bertindak menyembelih mangsa.
“Ketika kejadian, kakak mangsa, Sasiwinon, 37, yang berada di tempat kejadian cuba membantu tetapi tidak berjaya kerana suami mangsa masuk semula ke dalam rumah dan mengunci pintu,” katanya.
Menurut Azmi, suspek kemudian membuka gas memasak dan menggantung dirinya pada kipas siling di ruang tamu rumah mereka.
Katanya, kakak ipar mangsa kemudian membuat laporan polis dan hasil siasatan di tempat kejadian, pihak polis menemukan sebilah pisau pemotong sayur berukuran enam sentimeter dan sebilah pisau pemotong daging yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.
“Mayat pasangan suami isteri itu dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.