Search This Blog

Wednesday, January 13, 2016

Lelaki 'hilang' 7 jam selepas nahas ditemui selamat

RABU, 13 JANUARI 2016 @ 10:43 AM
Oleh Mohd Nazllie Zainul





KERETA jenis BMW X6 terbabas di Batu 18, Jalan Kimanis, Keningau, malam tadi. - Foto ihsan twitter Bomba
PAPAR: Seorang lelaki terselamat selepas 'hilang' lebih tujuh jam apabila kenderaan dipandunya terbabas ke dalam gaung di Batu 18 Jalan Kimanis-Keningau, di sini, pagi tadi.
Lim Tang Chai, 56, ditemui jam 7 pagi kira-kira 50 meter dari kenderaannya di kawasan gaung berkenaan dalam keadaan sedar namun mengalami kecederaan ringan.
Difahamkan, sebelum kejadian itu, mangsa yang memandu kenderaan jenis BMW X6 sendirian dalam perjalanan pulang ke Keningau selepas urusan kerja di Kota Kinabalu.
Bagaimanapun, setibanya di lokasi kira-kira jam 11.30 malam, beliau gagal mengawal kenderaannya lalu terbabas ke bahu jalan sebelum terjunam ke gaung sedalam kira-kira 50 meter.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Papar, Dunstan Peter, berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada jam 11.43 malam sebelum menghantar sepasukan anggota yang tiba di lokasi pada jam 12.28 tengah malam.
Katanya, pemeriksaan bomba mendapati mangsa tiada dalam kenderaan itu menyebabkan operasi mencari dan menyelamat dijalankan segera.
"Operasi itu dijalankan dengan bantuan polis di sekitar kawasan gaung berkenaan kerana kita tidak menolak kemungkinan mangsa tercampak keluar dari kenderaannya atau cuba keluar untuk meminta bantuan.
"Bagaimanapun, operasi SAR ditangguhkan pada jam 3.54 pagi berikutan angin kuat dan kabus tebal.
"Mangsa ditemui selamat jam 7 pagi tadi oleh pekerja syarikat anaknya yang ke lokasi sejak awal pagi untuk mencari sebelum dihantar ke Hospital Keningau untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi.
Dunstan berkata, mangsa sempat menelefon anaknya dua kali untuk memaklumkan dia terbabit dalam kemalangan di laluan berkenaan sebelum terputus hubungan.
"Mangsa dipercayai cuba menyelamatkan diri dan meminta pertolongan sejurus kejadian, namun dia gagal ditemui berikutan keadaan gelap dan berkabus," katanya.

No comments:

Post a Comment