Ketua Polis negeri, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd. berkata, polis menahan lelaki terbabit pukul 2.45 petang di sebuah rumah di Jalan Tanjung, Taman Wangi di Gua Musang dan merampas beberapa peralatan komputer yang dipercayai digunakan dalam kes berkenaan.
"Suspek ditahan bagi membantu siasatan kes menghina dan menghasut ke atas kesultanan Johor melalui Facebook yang telah dilaporkan pada 27 Disember lalu di Balai Polis Taman Pelangi.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurut Wan Ahmad Najmuddin, lelaki tersebut akan dibawa ke negeri ini untuk tindakan selanjutnya.
Justeru, beliau menasihatkan agar orang ramai agar tidak menyalahgunakan laman sosial untuk menyebar kenyataan berbaur fitnah atau hasutan yang boleh mencemarkan kredibiliti kerabat Diraja atau mana-mana individu.
Katanya, masyarakat juga diminta agar menggunakan laman sosial secara profesional dengan mengambil kira perkara sensitif yang boleh menyinggung perasaan orang lain. - UTUSAN ONLINE