Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi semalam, cermin di ruang solat wanita di masjid itu juga dipecahkan oleh individu tidak bertanggungjawab menggunakan alat pemadam kebakaran.
Pengerusi masjid tersebut, Abdul Rani Hashim, 64, berkata, seorang pekerja pembinaan dewan di masjid itu memberitahu ada ternampak seorang lelaki masuk ke dalam masjid berkenaan namun tidak mengesyaki sesuatu yang buruk.
Katanya, kejadian itu hanya disedari sebaik sahaja seorang ahli kariah memasuki ruang solat dalam masjid berkenaan.
“Al-Quran dan yasin yang dile­takkan di rak di bahagian belakang ruang solat berselerak bersama tabung bergerak. Tiada kehilangan wang dalam kejadian ini kerana tabung itu sememangnya kosong.
“Bahagian ruang solat wanita juga bersepah dengan al-Quran, sejadah dan telekung dibuang di atas lantai. Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati lelaki itu turut memecahkan cermin di ruang solat wanita dengan menggunakan alat pe­madam kebakaran,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurutnya, menerusi rakaman itu juga, suspek dilihat membawa sekotak air mineral yang diletakkan di ruang legar masjid sebelum beredar.
“Masjid ini belum lagi sampai setahun beroperasi dan ini kejadian pertama yang berlaku di sini. Kami akan mempertingkatkan kawalan di masjid ini selepas ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Da­erah Manjung, Asisten Komisioner Tengku Mohd. Zailan Tengku Ahmad Shah berkata, pihaknya menerima aduan berhubung perkara tersebut pada pukul 10.30 pagi.
Katanya, lelaki berusia 33 tahun dan bekerja sebagai sub kontraktor itu diberkas oleh pihak polis pada pukul 2.45 petang.
“Berdasarkan CCTV, suspek me­lakukan perbuatan tersebut seorang diri. Lelaki itu juga dilihat memba­ling semua al-Quran dan kitab-kitab yang ada di rak masjid tersebut.
“Dia turut memijak al-Quran dan menyepahkan kain telekung dan sejadah di lantai,” katanya di sini hari ini.
Katanya, siasatan mendapati suspek mengaku melakukan perbuatan tersebut dan mendakwa mengalami masalah gangguan jiwa dan tekanan perasaan.
“Lelaki itu juga mendakwa mengalami masalah hutang yang dipinjam daripada ah long dan masalah perbelanjaan keluarga. Dia kini ditahan reman selama empat hari bermula hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan,” jelas beliau.