Ketua Polis Daerah Kinabata­ngan, Superintenden A. Sahak Rahmat berkata, suspek yang berusia 40 tahun itu ditahan di kawasan ladang kelapa sawit pukul 3.15 petang.
Menurutnya, ketika ditahan suspek mengalami kecederaan di bahu kanan.
“Turut dirampas ketika penahanan itu ialah satu anak kunci, satu dompet dan wang tunai RM704.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua orang awam yang sama-sama membantu polis hingga tertangkapnya suspek. Suspek kini ditahan reman mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kelmarin, bekas isteri suspek, Azura Shima, 39, meninggal dunia selepas ditikam sebanyak lima kali di perut dada dan tangan oleh suspek di rumah mangsa di perumahan Ladang Permodalan 1, dekat sini pada pukul 5.20 pagi.
Selain Azura, suspek turut menikam anak tirinya, Basri Jamaluddin, 24, sebanyak lima kali di dada, rusuk kiri dan betis.
Tindakan kejam suspek itu dikatakan berpunca selepas Azura menolak hajatnya untuk merujuk semula perkahwinan mereka.