Search This Blog

Friday, January 15, 2016

Larangan mula malam tadi

Kuantan: Polis Pahang akan memperhebatkan tindakan penguatkuasaan bagi memastikan semua kegiatan perlombongan dan pengangkutan bauksit di daerah ini dihentikan sepenuhnya mulai tengah malam tadi.
Ia dilaksanakan di sembilan pusat pemeriksaan yang beroperasi 24 jam di lokasi strategik berhampiran kawasan perlombongan bauksit dan laluan lori muatan itu ke Pelabuhan Kuantan, dekat sini.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Sharifuddin Ab Ghani berkata, langkah itu selaras dengan pengumuman Kerajaan Pusat yang mengarahkan aktiviti perlombongan dan eksport bauksit di Kuantan dihentikan selama tiga bulan mulai semalam.
“Mulai tengah malam ini (tadi), kita akan pastikan tiada lagi operasi termasuk lori muatan bauksit ke Pelabuhan Kuantan.
“Saya minta semua pihak mengikut peraturan ini yang berkuat kuasa mulai jam 12 tengah malam tadi, bukannya jam 12 tengah hari (hari ini),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis perjumpaan dengan pengusaha hotel di Pahang, di sini, semalam.
Hadir sama Pengerusi Pengusaha Hotel Malaysia (Pahang) Datuk Chew Teck Fang.
Sejak 9 Januari lalu, polis membuka sembilan pusat pemeriksaan di daerah ini dalam usaha memperhebatkan tindakan penguatkuasaan berhubung aktiviti lori bauksit.
Ia terletak di Bukit Kuantan, Tanjung Pasir, Kampung Padang, Taman Datuk Rashid, Shahpadu berhadapan pejabat Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia di Jalan Pintasan Kuantan, Bukit Penggorak, Sungai Ular dan Jabor.
Seramai lima pegawai dan 130 anggota polis bertugas mengikut syif ditempatkan di pusat pemeriksaan berkenaan yang beroperasi dengan mendapat kerjasama pelbagai agensi termasuk Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat dan Pejabat Tanah dan Galian.
Terdahulu, Sharifuddin dalam ucapannya mengingatkan pengusaha di negeri ini supaya tidak bersekongkol dengan aktiviti pihak tertentu yang menjadikan hotel sebagai lokasi untuk merancang atau melakukan jenayah.
Beliau berkata, ia termasuk aktiviti seperti pecah rumah, pengedaran dadah, pelacuran dan perjudian di hotel atau rumah tumpangan terutama di kawasan bandar.
“Mereka (pengusaha) mungkin bimbang akan kehilangan pelanggan. Tetapi, saya minta kerjasama mereka supaya melaporkan kepada pihak berkuasa jika mengesyaki ada tetamu yang melakukan aktiviti sedemikian,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 January 2016 @ 10:31 AM


Sharifuddin (dua dari kanan) bersama ahli Pengusaha Hotel Malaysia Pahang, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/107507#sthash.8OG7JwXY.dpuf

No comments:

Post a Comment