Search This Blog

Sunday, January 31, 2016

Komander AS mengaku salah terima rasuah


SAN DIEGO – Seorang komander Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) yang dituduh melencongkan kapal-kapal perang ke pelabuhan di Asia untuk seorang kontraktor dari Malaysia mengaku bersalah kerana ra­suah kelmarin, sabitan kelapan dalam skandal besar itu.
Michael Misiewicz merupakan antara pegawai Tentera Laut AS berpangkat paling tinggi didakwa dalam kes tersebut yang tertumpu pada ahli perniagaan Malaysia, Leonard Francis yang juga digelar ‘Leonard Gemuk’ kerana saiz perutnya.
Misiewicz mengaku bersalah ter­hadap tuduhan berkomplot untuk me­nerima rasuah dan memberi ra­suah kepada kakitangan awam pada perbicaraan di Mahkamah Persekutuan di San Diego.
Dia berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun jika untuk dua pertuduhan tersebut. Peguam belanya menyatakan dalam satu ke­nyataan akhbar bahawa Misiewicz menyesali tindakannya yang dilakukan antara 2011 dan 2012 itu.
Hanya seorang defendan daripada sembilan tertuduh dalam kes itu masih mencabar dakwaan terhadapnya. Pihak pendakwa raya AS juga memaklumkan bahawa siasatan masih berjalan dan lebih banyak tangkapan mungkin dibuat selepas ini.
Francis sebelum ini mengaku memberikan pelbagai hadiah sebagai balasan untuk maklumat sulit bagi membantu syarikatnya yang berpangkalan di Singapura, Glenn Defense Marine Asia Ltd. mengenakan caj berlebihan sekurang-kurangnya AS$20 juta terhadap Tentera Laut AS. Dia masih menunggu hukuman dijatuhkan.
Misiewicz pula didakwa menerima tiket teater, khidmat pelacuran dan hadiah lain bagi maklumat sulit itu. Dia memberikan maklumat laluan kapal perang kepada Francis dan kemudian melencongkan kapal ter­babit ke beberapa pelabuhan Pasifik tanpa pemantauan rapi. – AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0130&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3ym6fUjyu 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment