Search This Blog

Thursday, January 21, 2016

Kesal tak sudah

Klang: “Walaupun banyak sumbangan diterima namun ia tidak boleh mengembalikan kaki Siti Nuraisyah. Bagaimanapun, kami bersyukur serta berterima kasih dengan keprihatinan pelbagai pihak dan berharap sumbangan ini terutama kaki palsu juga kerusi roda membolehkan anak bersekolah seperti biasa,” kata Roslan Sardi, 40.
Roslan yang juga bapa tiri kepada Siti Nuraisyah Sahrin, 13, berkata, sejak anaknya itu dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang Isnin lalu, pelbagai pihak tampil menghulurkan bantuan dan mereka berterima kasih di atas sumbangan berkenaan.
“Anak saya ada bertanya pada ibunya bagaimana dia mahu ke sekolah selepas ini namun kami sekeluarga meyakinkannya bahawa kami akan membantunya sebaik dia sembuh.
“Ramai juga yang datang menghulurkan sumbangan dan kami sangat menghargainya. Diharapkan sumbangan ini dapat membantu anak saya pada masa depan,” katanya.
Pada masa sama, Roslan turut kesal kerana membenarkan anaknya menunggang serta membonceng motosikal ke sekolah.
“Secara kebetulan, kereta saya sudah seminggu rosak, bukan tidak boleh hantar mereka ke sekolah, namun kemalangan berlaku ketika kami dalam keadaan kesempitan dan ramai anak masih bersekolah,” katanya.
Roslan mengakui yang dia sangat sedih melihat nasib Siti Nuraisyah namun remaja berkenaan dilihatnya sebagai cukup tabah selain tidak menangis atau meraung.
Katanya, mereka sekeluarga baru sebulan berpindah ke Parit 16, Sungai Panjang selepas 12 tahun menetap di Pulau Indah, Klang bertujuan untuk memberikan anak-anak suasana pembelajaran baru dan lebih baik.
“Saya kesal bawa mereka pindah, seolah-olah seperti saya ini membawa masalah,” katanya.
Roslan yang kini bekerja sendiri dengan mengusahakan kebun di kampungnya berkata, dia tidak menyangka kejadian yang menimpa Siti Nuraisyah mendapat perhatian pelbagai pihak.
Roslan turut mengakui kawasan berkenaan tidak mempunyai kemudahan pengangkutan awam dan sebahagian besar pelajar ke sekolah dengan menunggang motosikal.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 January 2016 @ 7:11 AM


MAIMUNAH Mat Razali mengucup anaknya, Siti Nuraisyah ketika menemani mangsa di HTAR, Klang.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/108916#sthash.zZMiV2wy.dpuf

No comments:

Post a Comment