KUALA LUMPUR - Kes penipuan jenayah komersial yang diterima Polis Diraja Malaysia tahun lepas melibatkan kerugian sebanyak RM2.43 bilion.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Mortadza Nazarene berkata jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 95.1 peratus berbanding tahun 2014 iaitu RM1.86 bilion.
"Sepanjang tahun lepas polis menerima 132,925 laporan polis berkaitan jenayah komersial," katanya dalam sidang media Analisis Prestasi Tahunan JSJK Bagi Tahun 2015, di sini, hari ini.
Beliau berkata laporan polis yang diterima meningkat 9.01 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2014 iaitu 121,934 kes.
Katanya daripada jumlah laporan polis yang diterima pada tahun lepas, sebanyak 19,533 kertas siasatan telah dibuka.
Dalam pada itu, seramai 7,019 individu ditangkap melakukan kesalahan berkaitan jenayah komersial pada tahun lalu.
Mortadza berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, dalam perkembangan lain polis turut mendedahkan penipuan 'African Scam' tahun lepas melibatkan 1,521 kes dengan nilai kerugian RM199 juta. - Bernama