Search This Blog

Monday, January 18, 2016

Kes dadah: Isteri bebas, suami dipenjara 14 tahun

JENAYAH ISNIN, 18 JANUARI 2016 @ 3:56 PM


Oleh Zuraidah Mohamed zmohamed@bh.com.my


JOHOR BAHRU: Seorang wanita dilepas dan dibebaskan, manakala suaminya dijatuhi hukuman penjara 14 tahun serta 10 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan memiliki dadah seberat 1239.7 gram di sebuah rumah di Benut, Pontian pada Mac tahun lalu. Tertuduh, Norhayati Omar, 34, dan suaminya, Japidin Jaffarang, 36, membuat pengakuan itu selepas jurubahasa mahkamah membaca pertuduhan pilihan di hadapan Hakim Datuk Dr Sabirin Ja'afar. Mahkamah kemudian memerintahkan Norhayati dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan itu, manakala Japidin, dijatuhi hukuman penjara 14 tahun serta 10 sebatan bermula dari tarikh dia ditahan pada 19 Mac 2015. Keputusan itu dibuat selepas Sabirin meneliti dan mengambil kira pengakuan bersalah dan hujahan oleh pihak pendakwaan. Japidin yang bekerja sebagai pemandu lori dan isterinya yang tidak bekerja kelihatan tenang selepas mendengar keputusan itu. Mereka turut ditemani ahli keluarga. Pindaan dibuat daripada Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung mandatori kepada Seksyen 6 ADB 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(2) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. Tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 30 tahun dan disebat tidak kurang 10 kali sebatan, jika sabit kesalahan. Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa dengan niat bersama didapati dalam milikan mereka dadah berbahaya sejumlah berat 1239.7 gram Cannabis, di sebuah rumah sewa di Parit Betak, Kampung Tapok di Benut, kira-kira jam 12.30 malam pada 19 Mac 2015. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Rahimah Abd Majid. Tertuduh pertama, Japidin diwakili peguam Sukhaimi Masyud, manakala isterinya diwakili oleh Jihad Syahida Nadia Zakaria.

SEORANG suri rumah, Norhayati Omar berusia 34 (baju putih) dilepaskan atas pertuduhan memiliki 1239.7 gram dadah manakala suaminya, Japidin Jaffarang, 36 (kiri) yang mengaku bersalah atas pertuduhan sama dijatuhi hukuman penjara 14 tahun dan 10 sebatan di Mahkamah Tinggi, Johor Bahru. - Foto Azreen Jamaluddin  
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/115633

No comments:

Post a Comment