Search This Blog

Friday, January 15, 2016

Kereta Hilang Dijumpai Hangus


Diterbitkan: Khamis, 14 Januari 2016 6:14 PM
R. Munusamy.

KUALA LUMPUR: Sebuah kereta jenis Suzuki Swift yang dilaporkan hilang di Mont Kiara pada Oktober lepas dijumpai terbakar di Taman Desa Bakti, di sini, malam Rabu.
Ketua Polis Daerah Sentul ACP R. Munusamy berkata berdasarkan siasatan awal yang dijalankan pasukan forensik bomba, terdapat unsur khianat dalam kejadian itu berikutan penemuan kesan petrol pada kereta berkenaan.
"Semakan nombor pendaftaran kereta itu didapati palsu manakala casis kereta berkenaan menunjukkan ia adalah kereta yang dilaporkan hilang Oktober lalu," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Katanya polis bergegas ke tempat kejadian setelah menerima panggilan kecemasan daripada orang awam kira-kira pukul 9.52 malam.
Bagaimanapun, Munusamy berkata tiada tangkapan dilakukan manakala motif serta punca kejadian masih dalam siasatan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat menggunakan api.
Pada masa sama beliau meminta kerjasama orang ramai untuk memaklumkan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung kes itu.
Sementara itu, Pegawai Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Samsol Maarif Saibani berkata sebuah jentera dengan kekuatan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jinjang dikerah ke lokasi kejadian dan tiba kira-kira pukul 9.58 malam.
"Kereta itu terbakar sebanyak 90 peratus sehingga rangka kereta sahaja yang tertinggal manakala api dapat dipadamkan sepenuhnya pada pukul 10.15 malam," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment