BANDAR KUALA KANGSAR - Sebuah kereta mewah jenis BMW musnah 90 peratus dalam kebakaran di Kilometer 249 Lebuhraya Utara Selatan menghala utara, pagi semalam.
Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar, Halim Mat Siga mengesahkan kejadian tersebut ketika dihubungi.
Menurutnya, anggota bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan berhubung kes berkenaan kira-kira jam 8.04 pagi.
“Setibanya anggota di lokasi kejadian, kita mendapati sebuah kereta jenis BMW sedang terbakar 80 peratus.
“Anggota membuat pemadaman menggunakan dua saliran dari tangki jentera bagi mengelakkan kebakaran merebak. Selepas api berjaya dipadamkan, kita dapat kemusnahan pada kereta itu adalah 90 peratus,” katanya.
Halim berkata, pemeriksaan pada kereta tersebut mendapati tiada mangsa terperangkap atau mengalami kecederaan dalam insiden itu.
“Selepas api dipadamkan, anggota membuat pemeriksaan terhadap kenderaan itu dan kita dapati tiada mangsa terperangkap.
“Operasi tamat sepenuhnya kira-kira jam 9.02 pagi tadi (semalam),” katanya
.