Search This Blog

Thursday, January 21, 2016

Kasanova iras pelakon Hindustan perdaya wanita



Oleh Ziauddin Sharuddin

SEREMBAN: Ketampanan seorang lelaki seperti pelakon Hindustan memudahkannya memperdayakan tiga wanita sehingga bukan sahaja menyerahkan wang dan kereta, malah tubuh mereka.
Mangsa yang berumur antara 20-an hingga 30-an, mengenali kasanova terbabit melalui aplikasi media sosial, Bee Talk, sejak beberapa bulan lalu.
Tertarik dengan ketampanan wajah lelaki itu, mangsa menyerahkan wang tunai, termasuk yang dimasukkan dalam akaunnya dan bertemu sehingga melakukan perhubungan seks.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun, berkata semua mangsa yang tidak mengenali antara satu sama lain, mengenali kasanova berusia 20-an yang bekerja sebagai juruteknik di kawasan Lembah Klang melalui aplikasi itu.
Katanya, perkenalan biasa berubah menjadi rapat sehingga mangsa bertemu kasanova itu dan gambar dalam keadaan mengaibkan ketika pertemuan itu digunakan sebagai senjata untuk mengugut mangsa supaya menyerahkan wang.
"Semua mangsa kerugian wang tunai antara RM3,000 hingga RM4,000 manakala seorang mangsa sanggup menyerahkan sebuah keretanya," katanya dalam sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di sini, hari ini.
Sehubungan itu, katanya, polis menahan seorang rakan kasanova itu di Kuala Lumpur pada 13 Januari lalu kerana menjadi rakan subahat dengan mengambil wang dan kereta daripada mangsa, manakala kasanova itu ditangkap di sebuah hotel di sini pada 16 Januari lalu.
"Kejadian itu disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana memeras mangsa dan Seksyen 377(c) kanun yang sama kerana melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii tanpa kerelaan," katanya.
Muhamad Zaki berkata, siasatan polis juga mendapati kasanova terbabit mempunyai rekod jenayah lampau dalam perbuatan memeras dan merogol.
Sehubungan itu, beliau menasihat wanita supaya berhati-hati, terutama apabila berkenalan menggunakan media sosial dan tidak memberi peluang kepada sesiapa untuk melakukan ugutan dengan cara membenarkan gambar diri diambil dalam keadaan mengaibkan.
Beliau tidak menolak kemungkinan ada mangsa lain yang diperdayakan oleh kasanova itu, tetapi malu untuk membuat laporan polis.

No comments:

Post a Comment