SITIAWAN - Tindakan pantas bomba memadam kebakaran di bahagian enjin berjaya menyelamatkan sebuah kapal latihan bernilai RM147 juta milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Grade One Marine, Kampung Acheh di sini, pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan, Mohd Zaki Zainol berkata, sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira 9.59 pagi.
"Kapal Teguh Samudera itu dalam kerja pembaikan dan tiada mangsa yang terlibat dalam kejadian itu.
"Sebaik sahaja tiba, asap hitam keluar melalui pintu masuk utama kapal menyebabkan anggota menggunakan alat bantuan pernafasan dalam operasi terbabit," katanya.
Menurutnya, hanya lima peratus enjin bahagian bilik enjin terbakar dan bomba mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengawal kebakaran daripada merebak keseluruhan kapal.
"Punca kebakaran dan kerugian masih dalam siasatan," katanya
.