Search This Blog

Saturday, January 16, 2016

Jumpa serpihan tengkorak

Santubong: Sebaik menjejak kaki dalam lumpur separas lutut di Sungai Dua di sini, semalam, bau busuk menusuk hidung pasukan penyelamat yang menyertai operasi mencari jururawat Nurul Wazieyana Mohd Yusof yang hilang di Pasir Panjang, 12 Disember lalu.
Walaupun tahu risiko apabila masuk ke lubuk buaya, pasukan penyelamat gigih melakukan pencarian dalam radius satu hingga dua kilometer dari Sungai Dua di sini, bermula jam 10 pagi.
Wartawan yang turut menyertai Operasi Santubong bersama-sama meredah lumpur yang mengambil masa kira-kira 15 minit dari pusat operasi ke lokasi pencarian.
Dua rakan media hampir terjatuh ketika sama-sama meredah selut dan lumpur kerana terpijak ranting serta lumpur tetapi bernasib baik kerana sempat berpaut pada dahan pokok. Kesan cakaran buaya pada pokok dapat dilihat di beberapa kawasan dipercayai kesan pergelutan reptilia ganas itu.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Kuching Tiong Ling Hii berkata, operasi yang memasuki hari kedua itu akan ditamatkan selepas hasil perbincangan dibuat bersama pasukan penyelamat lain.
“Kita sudah membuat pencarian hampir di semua kawasan yang menjadi lubuk buaya di sekitar Sungai Dua, namun gagal menemui sebarang petunjuk lain. Bagaimanapun, kita akan melihat keperluan sama ada operasi ini perlu disambung pada masa akan datang atau sebaliknya.
“Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) akan mengadakan operasi khas memburu buaya di Sungai Dua bermula Isnin hingga Jumaat depan. SFC akan memaklumkan perkembangan itu dari semasa ke semasa,” katanya.
Katanya, operasi membabitkan lebih 20 anggota termasuk pasukan khas ‘Must Team’ bomba yang turut disertai empat polis bersenjata api, tiga kakitangan SFC serta seorang penyelamat bebas.
“Pasukan penyelamat dipecahkan dan bergerak kepada dua kumpulan dalam radius satu hingga dua kilometer di kawasan lubuk dan Sungai Dua bagi memudahkan serta mempercepatkan pergerakan.
“Seorang anggota penyelamat menemui serpihan tengkorak di satu kawasan pada jam 10.48 pagi,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, belum dapat dipastikan sama ada tengkorak itu milik manusia atau haiwan sehingga ujian kimia dijalankan.
Sebelum ini, Harian Metro melaporkan mengenai hasrat Mohd Yusof Othman, bapa Nurul yang meminta pasukan penyelamat membuka semula operasi pencarian anaknya yang hilang sejak 12 Disember lalu.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 January 2016 @ 7:36 AM


ANGGOTA bomba melihat serpihan tengkorak yang ditemui.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/107782#sthash.lCjV3XrY.dpuf

No comments:

Post a Comment