BANDARAYA MELAKA - Seorang pekerja sebuah kedai menjual pelbagai barangan seramik di Jalan Taming Sari, di sini tidak menyangka objek disangka kaki patung yang dilihat di celah jubin mangkuk tandas adalah kaki manusia.
Rasul Ali, 48, berkata, dia tergamam melihat kaki yang turut mempunyai tulang dan darah kering itu ketika menemani pelanggannya yang sedang memilih mangkuk tandas di bahagian luar premis yang terletak di persimpangan Taman Mata Kucing kira-kira jam 9 pagi.
“Kedai buka jam 8.30 pagi dan selepas setengah jam ada pelanggan datang nak beli mangkuk tandas, jadi saya bawa dia tengok-tengok mangkuk tandas mengikut bajet dia dan masa itu pelanggan tegur ada bau seperti bangkai tapi saya buat biasa aja la.
“Tak lama lepas tu saya nampak kaki, dalam pada saya terkejut saya fikir itu kaki patung, tapi pelanggan itu cakap ia memang kaki manusia jadi saya terus panggil bos yang kemudian telefon balai polis,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini.
Rasul berkata, kejadian seumpama itu bukan sahaja pertama kali dihadapinya selama 12 tahun bekerja di premis berkenaan, malah termasuk majikannya yang menjalankan perniagaan selama lebih 20 tahun di situ.
“Minggu lepas masa datang kerja saya memang nampak ada darah atas jalan seberang sana. Saya juga nampak topi keledar dan beg dilonggok berhampiran kedai bertentangan kedai kami dan bila saya tanya-tanya orang, mereka kata ada kemalangan.
“Tapi saya memang tak tahu pun mangsa kemalangan itu putus kaki dan tak terfikir yang mungkin kaki mangsa ada dalam kawasan kedai yang jaraknya kira-kira 40 meter dari tempat kemalangan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan kaki kanan berkenaan milik mangsa kemalangan yang berlaku di hadapan premis tersebut, awal pagi Jumaat lalu.
“Mangsa tanpa kad identiti adalah seorang wanita dipercayai berusia 20-an dilaporkan terlibat kemalangan pada jam 3.10 pagi di hadapan sebuah kedai perabot ketika menunggang motosikal jenis Modenas Kriss.
“Mangsa dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut bagaimanapun disahkan meninggal dunia pada jam  7.55 pagi hari sama dan hasil bedah siasat kematiannya disebabkan kecederaan parah di bahagian perut dan pinggang,” katanya di sini, semalam.
Shaikh berkata, siasatan awal pihaknya mendapati kemalangan itu berpunca apabila motosikal ditunggang mangsa dari arah hospital menghala pusat bandar terbabas ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan sebuah lori 1 tan tanpa muatan.
“Bagaimanapun, ketika dirawat di hospital mangsa yang masih boleh bercakap memberitahu namanya adalah Zulaikha Ismail namun sehingga kini kita tidak dapat mengesan warisnya untuk menuntut jenazah.
“Berdasarkan nombor pendaftaran motosikal, polis mengesan motosikal tersebut milik seorang lelaki yang tinggal di Bukit Baru namun lelaki berkenaan berkata motosikal itu digunakan anaknya yang sudah lama tidak berhubung,” katanya.
Beliau berkata, justeru pihaknya momohon orang ramai yang mengenali mangsa atau waris mangsa yang menggunakan motosikal dengan nombor pendaftaran MAU2315 supaya tampil membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Waris juga kita cari untuk urusan menuntut dan pengebumian jenazah yang masih terdapat di bilik mayat Hospital Melaka. Orang ramai boleh terus ke balai polis berhampiran untuk menyalurkan sebarang maklumat.
“Boleh juga hubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di talian 06-2842222 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Kalai Selvan, 016-799 8876,” katanya
.