Search This Blog

Sunday, January 17, 2016

Jumpa bayi tertiarap atas rumput

MOHAMAD NORZAHARUDDIN KASIMON


 16 JANUARI 2016
Bayi


SEGAMAT - Seorang penduduk di Kampung Logah, di sini, tidak menyangka tangisan yang didengarinya pada awal pagi tadi merupakan tangisan seorang bayi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, bayi perempuan tanpa berpakaian itu ditemui dalam keadaan tertiarap di atas rumput di belakang sebuah rumah penduduk.
Lebih memilukan, bayi seberat dua kilogram yang sudah tidak bertali pusat itu turut dipenuhi lumpur pada bahagian muka dan badannya.
Menurut ketua kampung terbabit, Hassan Sitam, 66, berkata, bayi tersebut ditemukan seorang jirannya ketika mahu keluar dari rumah pagi tadi.
"Bayi tersebut berkulit cerah dan dipercayai baru dilahirkan ketika ditemukan, serta kami merasakan ada kesan tompokan darah pada bayi tersebut, namun tidak pasti milik siapa.
"Kami terus membuat laporan polis sebaik menyedari kejadian itu sebelum bayi tersebut di hantar ke Hospital Segamat untuk tindakan susulan," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Mohd. Kamil Sukarmi ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan siasatan lanjut sedang dijalankan pihaknya.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan pihaknya juga sedang berusaha untuk mengenal pasti identiti bayi dan individu yang terlibat.

No comments:

Post a Comment