Search This Blog

Friday, January 15, 2016

JPJ diarah sita lori hantu serta-merta

JUMAAT, 15 JANUARI 2016 @ 3:05 PM

Oleh Mohamed Farid Noh


NAHAS yang membabitkan dua pelajar perempuan Tingkatan Satu SMK Bandar Damai Perdana, Cheras, Selangor, maut manakala seorang penjaja cedera dirempuh sebuah van yang dilanggar sebuah lori hantu di hadapan sekolah berkenaan, semalam. - Foto Saddam Yusoff
BATU PAHAT: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) diarah menyita serta-merta lori hantu yang masih berdegil dan menggunakan jalan utama di seluruh negara.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi, berkata arahan yang berkuat kuasa serta-merta itu juga bagi menggempur majikan lori hantu yang tidak bertanggungjawab sehingga membahayakan keselamatan awam.
"Kita amat sedih dengan tragedi yang mengorbankan dua pelajar di Cheras, Selangor, semalam. Saya sudah arahkan JPJ untuk ambil tindakan tegas termasuk menyita serta-merta lori hantu yang masih degil dan melalui jalan utama di seluruh negara.
"Mulai hari ini juga JPJ akan menggempur habis-habisan serta mengambil tindakan terhadap kegiatan lori hantu di kawasan pembinaan atau mana-mana kawasan yang membabitkan tempat tinggal penduduk supaya tragedi seperti ini tidak berulang," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program ziarah masyarakat di FELCRA Seri Wangi, Parit Yaani, dekat sini, sebentar tadi.
Abdul Aziz mengulas tragedi jam 12.50 tengah hari semalam, apabila dua pelajar perempuan Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Damai Perdana, Cheras, Selangor, maut manakala seorang penjaja cedera dirempuh sebuah van yang dilanggar sebuah lori hantu di hadapan sekolah berkenaan.
Kedua-dua pelajar yang maut di tempat kejadian dikenali sebagai Lau Zi Xin dan Wong Siow Xuen, kedua-dua mereka berumur 13 tahun.

No comments:

Post a Comment