Search This Blog

Sunday, January 17, 2016

Istana Britain dipecah masuk





SUSSEX, Britain – Seorang pencuri bertopeng di sini berjaya memecah masuk sebuah istana sebelum melarikan sejumlah barangan kemas bernilai £700,000 (RM4.4 juta).
Pencuri itu memasuki istana Goodwood House yang terletak di Barat Sussex pada Rabu lalu. Dalam kejadian itu, satu mahkota tia­ra bernilai £400,000 (RM2.5 juta), kalung berlian £200,000 (RM1.2 juta) dan sebentuk cincin yang diwarisi daripada Raja Charles II, didapati hilang.
Pemilik istana berkenaan, Lord March, 61, isterinya, Lady March, 54, telah diikat di dalam bilik tidur mereka. Bangsawan tersebut bagaimanapun dilepaskan oleh seorang pekerja yang tiba untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan di situ pada sebelah pagi.
Komander Jabatan Polis Daerah Sussex, Justin Burthenshaw berkata, siasatan awal mendapati seorang lelaki bertopeng menggunakan tangga untuk memasuki tingkap di tingkat pertama di bangunan istana itu.
Bunyi bising menyebabkan Lady March bangun untuk menyiasat, namun dia kemudian ditangkap oleh seorang lelaki bertopeng sebelum suspek bertindak memukul kepala Lord March menggunakan alat tumpul.
Lady March kemudian dipaksa membuka peti besi yang mengandungi 40 barangan kemas antik termasuk mahkota tiara yang dihasilkan pada tahun 1820, kalung berlian pada kurun ke-19 dan beberapa barangan berharga yang lain.
Bagaimanapun, pihak polis dikatakan berjaya menahan seorang lelaki berusia 26 tahun yang disyaki terlibat dalam kejadian itu.
– Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0117&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3xTOe4ifX 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment