Search This Blog

Wednesday, January 27, 2016

Israel lulus bina 153 rumah haram Yahudi di tanah Palestin


BAITULMUQADDIS – Kementerian Pertahanan Israel telah meluluskan rancangan membina 153 buah rumah peneroka haram Yahudi di Tebing Barat, kata jurucakap kumpulan pemerhati penempatan Israel, Peace Now kelmarin.
Hagit Ofran berkata, rancangan itu diluluskan pada minggu lalu dan melibatkan penempatan kecil di kawasan Ariel, utara Tebing Barat dan penempatan Yahudi Carmel di Hebron dan Gush Etzion.
Menurut pertubuhan bukan kerajaan itu, perkembangan tersebut mengakhiri pembekuan pembinaan penempatan Yahudia di Tebing Barat yang berkuat kuasa selama 18 bulan.
Peace Now menyatakan pada 28 Disember lalu bahawa Israel sedang berusaha untuk memulihkan dan menangguhkan rancangan pembinaan penempatan Yahudi di kawasan perbalahan di Tebing Barat yang dikenali sebagai E1.
Berdasarkan data kerajaan Israel, kumpulan itu berkata, kementerian perumahan merancang membina 55,548 unit rumah di Tebing Barat melibatkan dua penempatan baharu selain lebih 8,300 rumah bakal dibina di E1.
“Kawasan penempatan Maale Adumim dan E1 merupakan kawasan paling sensitif dan berisiko menjejaskan rundingan damai Asia Barat bagi mencapai penyelesaian dua negara iaitu Palestin dan Israel.
“Justeru, apabila pemimpin Israel mahu membina rumah Yahudi di E1, masyarakat antarabangsa mengutuk sekeras-kerasnya kerana ia boleh menjejaskan proses damai Israel-Palestin,” kata Peace Now.
Amerika Syarikat, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Kesatuan Eropah menentang kesemua rancangan pembinaan penempatan Israel dan menyuarakan kebimbangan mengenai pembinaan di E1.
Israel menawan Tebing Barat dan timur Baitulmuqaddis dalam Perang Enam Hari pada 1967. Setakat ini, terdapat kira-kira 380,000 penduduk Israel menetap di 135 buah penempatan di Tebing Barat manakala 200,000 lagi di timur Baitulmuqaddis.
– AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0127&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3yPeMhgsR 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment