Kesemua mereka yang berumur dalam lingkungan 21 hingga 35 tahun ditahan anggota Unit Ronda Bermotosikal (URB) Balai Polis Kajang pada pukul 3.30 pagi.
Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Willey Richard, kesemua suspek yang menaiki kereta jenis Proton Waja ditahan selepas dilihat berada di dalam keadaan mencurigakan di sekitar Sungai Chua.
Ujarnya, pihaknya yang melakukan pemeriksaan ke atas kende­raan, pemandu dan penumpang secara menyeluruh menemukan dua bilah parang; sebilah kapak; tiga topi serta tiga penutup mulut.
“Senjata dan peralatan ber­kenaan dibalut dengan jaket warna kelabu dan diletakkan di tempat letak kaki bahagian penumpang belakang.
“Kesemua suspek dan barang rampasan dibawa ke Balai Polis Kajang untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Willey memberitahu, permohonan reman keempat-empat suspek akan dibuat hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.
Mengulas lanjut katanya, de­ngan tangkapan tersebut, pihak­nya percaya dapat menyelesaikan beberapa kes samun di sekitar Kajang dan daerah lain yang terlibat.