PAKA - Empat deretan kedai musnah dalam satu kebakaran yang berlaku di kampung Chacar, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.00 petang itu, tiga deretan kedai termasuk kedai runcit, kedai makan dan bengkel motosikal mengalami kemusnahan 100 peratus, manakala sebuah lagi bengkel kereta musnah kira-kira 30 peratus.
Pegawai Operasi, Mohd Anuar Khalid berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paka menerima panggilan kecemasan kita-kira jam 7.15 petang dan bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, seramai 16 pegawai dan anggota bomba terlibat dalam operasi berkenaan iaitu membabitkan pasukan bomba dari BBP Paka serta dibantu BBP Kerteh.
"Ketika tiba di lokasi didapati kebakaran melibatkan kedai tujuh pintu jenis sementara dan api sedang marak.
"Dalam tempoh 10 minit api dapat dikawal dan pasukan bomba dapat menghalang api daripada merebak lebih jauh.
"Pemadaman melibatkan lima jentera menggunakan empat aliran hose dan enam pancutan bagi mengawal serta memadam kebakaran.
"Punca kejadian masih dalam siasatan dan dipercayai  api datang dari salah sebuah kedai yang terlibat.
"Jumlah kerugian juga masih dalam siasatan dan mungkin mencecah ratusan ribu ringgit memandangkan tiga daripada kedai terlibat mengalami kemusnahan seratus peratus.
"Bagaimanapun, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporlan berlaku," katanya
.