Selain bekas pegawai berkenaan yang kini merupakan ahli perniagaan bergelar Datuk, tiga lagi terdiri daripada peguam, penjawat awam dan seorang wanita yang merupakan kakitangan sebuah syarikat perlombongan.
Majistret Eric Lau membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar keempat-empatnya ditahan reman sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan kes kontroversi itu.
Keempat-empatnya yang berusia antara 30-an dan 50-an dibawa ke mahkamah kira-kira pukul 9.30 pagi dalam keadaan bergari serta berpakaian lokap berwarna jingga.
Tiga daripadanya ditahan di Pahang manakala seorang diberkas di sini.
Peguam-peguam Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar bersama-sama Muhammad Hisham Abdul Rahim hadir mewakili suspek-suspek tersebut.
Mereka disiasat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 iaitu atas kesalahan menggunakan dokumen yang mengandungi maklumat palsu.
Sehingga 11 Januari lalu, seramai enam kakitangan Pejabat Tanah dan Galian Pahang dan tiga orang awam ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung penerimaan rasuah daripada pengusaha lombong bauksit haram dan penjualan dokumen.
Beberapa siri tangkapan oleh SPRM itu dijalankan bagi menyiasat dan mengesan pihak yang terlibat dalam kegiatan rasuah sehingga berlaku perlombongan haram dan ketirisan yang dianggarkan bernilai RM187 juta daripada segi kutipan royalti tahun lalu.