KLUANG - Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, memberkas dua lelaki berusia 21 dan 22 tahun dipercayai terlibat kes curi motosikal di sekitar daerah ini pada 12 dan 13 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohamad Laham berkata, tangkapan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) bermula jam 7.30 petang hingga 2.30 pagi.
Menurutnya, hasil tangkapan di sekitar Simpang Renggam itu, pihaknya telah merampas dua motosikal jenis Yamaha LC yang disyaki motor curi dan lima rangka motosikal di mana ia telah dibuang suspek ke dalam Sungai Linau.
“Hasil ujian air kencing ke atas kedua-dua suspek mendapati mereka positif dadah. Namun, tiada rekod jenayah,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
Mohamad berkata, polis akan mendapatkan bantuan forensik untuk membuat pemeriksaan terhadap enjin dan casis motosikal yang telah diganggu bagi mengesan pemilik motosikal berkenaan.
Beliau berkata, hasil soal siasat mendapati kedua-dua suspek melakukan kegiatan tersebut sejak pertengahan Disember tahun lepas dan dipercayai terlibat dalam kes curi motosikal di sekitar daerah ini dan Batu Pahat.
Menurutnya, jumlah hasil rampasan menerusi tangkapan berkenaan dianggarkan lebih kurang RM15,000.
“Kedua-dua suspek direman sehingga 19 Januari ini bagi membantu siasatan untuk mengesan rakan mereka yang lain.
“Suspek disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang daripada satu hingga tujuh tahun dan denda,” katanya
.