Search This Blog

Tuesday, January 19, 2016

Dua kali tedung selar berkunjung

Alor Setar: Seekor ular tedung selar betina sepanjang kira-kira empat meter berjaya ditangkap anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kota Setar di hadapan rumah penduduk di Taman Pinang Indah, Bukit Pinang, di sini, petang kelmarin.
Ular tedung selar seberat 10 kilogram (kg) itu ditangkap jam 5.40 petang selepas disedari anak pemilik rumah terbabit yang melihat reptilia itu melingkar di bawah pondok rehat sebelum menghubungi JPAM.
Pegawai JPAM Kota Setar Leftenan Muda (PA) C Sehgar berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 5.15 petang sebelum sepasukan lima anggota bersama Ketua Skuad Sarjan Elliyes Hashim tiba di lokasi pada jam 5.20 petang.
Beliau berkata, setibanya di lokasi, reptilia itu sedang melingkar dan anggotanya cuba menangkapnya menggunakan peralatan khas, namun ular itu bertindak agresif.
“Reptilia itu berjaya ditangkap selepas hampir 20 minit bergelut dengannya dan anggota kami terpaksa berhati-hati kerana ia cuba mematuk beberapa kali,” katanya ketika ditemui di pejabat JPAM Kota Setar, Anak Bukit, di sini, semalam.
Sehgar berkata, ini kali kedua ular tedung selar ditangkap di kawasan perumahan itu dengan kejadian pertama Khamis lalu.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2016 @ 6:33 AM


EMPAT anggota JPAM menunjukkan ular tedung selar yang ditangkap di kawasan perumahan Taman Pinang Indah.

No comments:

Post a Comment