Mail Online melaporkan, de­ngan menggunakan alat kawalan jauh, Jeremy dan Jason Holden akan menekan butang renjatan elektrik bagi mengenakan pencuri yang mahu melarikan basikal yang diletakkan di tepi jalan di bandar raya Los Angeles, baru-baru ini.
Melalui rakaman video berdurasi 2 minit 49 saat yang dimuat naik di laman perkongsian video YouTube, dapat dilihat beberapa individu tidak dikenali yang mahu mencuri basikal tersebut, terkejut selepas terkena renjatan elektrik.
Ada di antara pencuri tersungkur di atas jalan berbatu dan terlanggar pokok, gara-gara gagal mengawal basikal berkenaan selepas terkena renjatan elektrik sebelum melarikan diri.
“Apa yang berlaku kawan?, cuba untuk mencuri basikal,” kata adik-beradik Holden kepada pencuri basikal terbabit.
Adik-beradik Holden berkata, video tersebut merupakan sebahagian daripada bahan rakaman yang akan dimasukkan ke dalam filem arahan mereka nanti.
Jeremy dan Jason bersama rakan-rakan mereka terkenal di seluruh Amerika Syarikat kerana sering merakam video-video berbentuk usikan.
Walaupun usikan mereka le­bih bersifat mahu mengajar ma­syarakat, namun adik-beradik ter­sebut pernah didakwa di mah­kamah pada tahun 2014 atas ke­salahan bersikap tidak senonoh.