KOTA BHARU - Seorang pengendali majlis mengaku tidak salah di mahkamah majistret, di sini, semalam, atas tuduhan menunggang motosikal dengan gopoh hingga menyebabkan kecederaan ke atas bekas isterinya, minggu lalu.
Effendy Shafii, 34, didakwa melakukan kesalahan itu terhadap Yusnunra Muhamad, 32, di hadapan deretan kedai di Flat Buluh Kubu, di sini, pada jam 7.15 pagi, 13 Januari lalu.
Dakwaan terhadapnya dijalankan mengikut Seksyen 337 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM1,000, atau kedua-duanya sekali.
Walau bagaimanapun, susulan penafian tertuduh pada prosiding terbabit, Timbalan Pendakwa Raya negeri, Mohamad Firdaous Mohamed Idris memohon tarikh sebutan untuk pengurusan kes.
Beliau turut mencadangkan jaminan berjumlah RM16,000, bagaimanapun Majistret, Mohamad Nasrudin Mohamed membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 10 Februari depan.
Tertuduh diwakili peguam, Nik Saiful Adli Burhan@Jaohari.
Difahamkan dalam kejadian lalu, tertuduh datang dan menunggu di luar rumah flat didiami mangsa dan mengajaknya untuk keluar minum.
Mangsa bagaimanapun enggan dan tertuduh tiba-tiba mengambil anak mangsa yang berusia 4 tahun lalu diletakkan di dalam raga motosikal.
Apabila ditanya hendak ke mana, tertuduh menjawab, 'sekejap saja'.
Mangsa kemudian pantas memegang badan anaknya dan ketika hendak menarik kanak-kanak itu, tertuduh bertindak memecutkan motosikal menyebabkan mangsa jatuh ke jalan.
Tertuduh terus memusingkan motosikal hingga mangsa yang masih memegang kaki anaknya itu terseret di tar sebelum motosikal gagal dikawal dan tertuduh turut terjatuh.
Orang ramai yang mendengar jeritan mangsa datang membantu sebelum tertuduh diserahkan kepada polis yang datang ke lokasi kejadian.
Mangsa mendapat rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II, di sini, kerana luka di bahagian kanan badan yang terseret.