Dalam serbuan pada kira-kira pukul 6.30 pagi itu, tujuh lelaki dipercayai pekerja dan seorang pengurus syarikat agensi pekerja swasta yang menjadikan wanita-wanita itu sebagai buruh paksa selain seorang wanita warga Kemboja yang dipercayai bersubahat, turut ditahan.
Penolong Pengarah D7C Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIP/ASOM) Bukit Aman, Asisten Komisioner Maszely Minhad berkata, serbuan hasil intipan dan risikan itu disertai oleh 25 pegawai dan anggotanya serta dua pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD).
Menurutnya, mangsa yang di­selamatkan itu berumur 18 sehingga 42 tahun terdiri daripada 16 warga Kemboja dan enam warga Indonesia.
“Siasatan awal mendapati ke­semua mangsa ditempatkan di sebuah rumah kedai yang sentiasa berkunci dan hanya boleh dibuka oleh pekerja dan pengurus syarikat pembantu rumah sambilan itu.
“Ada dalam kalangan mangsa mendakwa telah bekerja selama lebih 10 bulan tanpa dibayar gaji selain dipaksa bekerja lebih 10 jam sehari.
“Pergerakan mereka juga sentiasa dikawal dan bagi mengelak mangsa melarikan diri, pasport mereka dipegang oleh pengurus syarikat terbabit dan akan dihantar serta diambil dari tempat kerja,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan di sini.
Maszely menambah, pihaknya percaya sindiket yang menawarkan perkhidmatan pembantu rumah sambilan itu telah beroperasi lebih setahun lalu menggunakan modus operandi memperdaya mangsa dengan pekerjaan yang menawarkan gaji lumayan.
“Semua mangsa dan suspek yang ditahan dihantar ke IPD Shah Alam untuk tindakan lanjut dan polis juga telah memohon perlindungan sementara untuk mangsa.
“Suspek yang berumur antara 30 hingga 59 tahun kini disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” jelasnya.