Search This Blog

Wednesday, January 20, 2016

Datuk Seri 'dalang' judi

Ampang: Jaringan Melayu Malaysia (JMM) mengesan sebanyak 20 premis judi haram beroperasi di daerah ini yang dipercayai didalangi individu bergelar ‘Datuk Seri’.
Presidennya, Azwanddin Hamzah berkata, pihaknya menerima pelbagai aduan orang ramai yang tampil ke pejabat JMM bagi menyalurkan maklumat berhubung kegiatan jenayah itu.
Katanya, JMM turut membuat risikan terhadap lokasi dilaporkan itu bagi memastikan kesahihannya sebelum membuat aduan kepada pihak berkuasa.
“Kita lihat premis judi tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. Bila polis ambil tindakan, mereka (pengusaha premis) tutup kedai tetapi beroperasi semula tidak lama kemudian.
“Kali ini kita mengesan sebanyak 20 lokasi premis perjudian haram di daerah Ampang hasil aduan diterima orang ramai dan pemantauan dilakukan JMM.
“Malah, hasil risikan dilakukan, kami turut mengesan seorang individu bergelar ‘Datuk Seri’ yang dipercayai menjadi pemilik perniagaan mesin slot judi haram ini,” katanya pada sidang media selepas membuat laporan polis berhubung kegiatan judi haram di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, di sini, semalam.
Menurut Azwanddin, laporan terbabit dilakukan bagi menggesa polis mengambil tindakan terhadap premis perjudian yang semakin meningkat di daerah berkenaan.
Katanya, JMM turut menyalurkan maklumat bagi mendedahkan lokasi premis judi yang sudah dikenal pasti termasuk maklumat dalang sindiket itu.
“Sebagai mewakili suara kepada masyarakat, kita mahu polis mengambil tindakan tegas menutup premis berkenaan kerana ia dibimbangi akan memberi impak negatif terutama kepada anak-anak muda di daerah Ampang.
“Kita minta polis mengambil tindakan segera terhadap premis judi haram berkenaan termasuk individu disyaki itu,” katanya.
Azwanddin turut memaklumkan pihaknya akan menubuhkan satu pasukan khas dengan kerjasama 40 Badan Bukan Kerajaan (NGO) di seluruh negara bagi membolehkan pemantauan terhadap kegiatan judi haram dapat dilakukan secara menyeluruh di setiap negeri dan daerah.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Hamzah Alias mengesahkan menerima laporan berkenaan.
Katanya, polis memberi jaminan akan menyiasat maklumat diterima terbabit dan seterusnya mengambil tindakan susulan.
“Setakat ini pihak polis belum dapat mengesahkan individu yang mendalangi aktiviti perjudian haram kerana pada setiap pemeriksaan dilakukan mendedahkan premis berkenaan dijalankan individu berbeza,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2016 @ 6:27 AM


Azwanddin (tengah) bersama ahli JMM membuat laporan polis berhubung kegiatan perjudian di sekitar Ampang.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/108609#sthash.1lu1DFxC.dpuf

No comments:

Post a Comment