Search This Blog

Saturday, January 16, 2016

Dadah setengah juta ringgit dirampas

Kuantan: Polis menahan tiga lelaki dan merampas dadah bernilai RM523,575 dalam dua kes berasingan di sini dan Pekan, semalam dan Rabu lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang Superintendan Lam Thian Huat berkata dalam serbuan itu polis merampas 2,264 gram heroin, 93.9 gram syabu dan 5,350 pil yaba serta dua kenderaan bernilai RM65,000.
"Tangkapan pertama dilakukan di sebuah kedai makan di Kampung Pulau Serai, Pekan, pada jam 8.45 pagi, Rabu lalu, membabitkan dua lelaki berumur 32 dan 43 tahun.
"Hasil pemeriksaan dalam kenderaan jenis Volvo dinaiki mereka, polis menjumpai 2,264 gram dadah jenis heroin bernilai RM339,600 dan 93.9 gram syabu bernilai RM23,475," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek dipercayai terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah sejak Ogos tahun lalu, dan turut mempunyai beberapa rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan jenayah.
Dalam serbuan berasingan, polis menahan seorang lelaki berusia 22 tahun di tempat letak kereta sebuah stesen minyak Jalan Teluk Sisek di sini, jam 2.15 petang semalam.
"Ketika ditahan, suspek berada dalam sebuah kereta Proton Wira di stesen minyak berkenaan dan polis menemui 5,350 pil Yaba bernilai RM160,500 yang disembunyikan dalam kenderaan itu," katanya.
Menurutnya, suspek terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah sejak Jun tahun lalu, dengan menjualnya di sekitar Kuantan dan Pekan.
Katanya kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - Bernama
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 January 2016 @ 8:26 PM


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang Superintendan Lam Thian Huat (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas. - Foto BERNAMA
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/107630#sthash.TxjDL4c3.dpuf

No comments:

Post a Comment