Menurut Ketua Bahagian Jaba­tan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, Superintenden Guan Beng Kang, dadah dianggarkan bernilai RM7.9 juta itu ditemukan ketika pemeriksaan dijalankan di bilik kebal bahagian kargo milik syarikat penerbangan negara di lapangan ter­bang berkenaan.
Menurut beliau, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dike­rah­kan ke LTAPP dan memeriksa 10 buat kotak yang dihantar dari luar negara dengan menggunakan alamat sebuah syarikat dipercayai ejen pengirim dan penerima kurier yang beralamat di negeri ini.
“Bungkusan itu tiba di LTAPP pada 13 Januari lalu selepas dihantar menerusi Lapangan Terbang An­tarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) namun tidak dituntut mana-mana pihak.
“Polis memeriksa kotak-kotak ter­babit pagi semalam sebelum mene­mukan pil dipercayai erimin 5 yang dibungkus dengan plastik hitam di dalam kotak terbabit,” kata­nya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Beng Kang, kotak ter­babit diisytiharkan mengandungi tas tangan wanita dan dikirim dari luar negara namun pemeriksaan men­dapati tiada satu tas tangan ditemukan di dalam semua kotak berkenaan.
Tambah beliau, pihaknya percaya dadah itu dibawa masuk menggunakan alamat sebuah syarikat ejen di negeri ini dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan pemilik dadah berkenaan.
“Setakat ini tiada tangkapan dilakukan dan kita percaya dadah ini dibawa masuk ke Malaysia untuk pasaran tempatan khususnya Kuala Lumpur dan Selangor,” ujarnya.
Tegas beliau, usaha mengesan mereka yang terlibat memesan dadah dari luar negara itu sedang giat dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.