Search This Blog

Tuesday, January 19, 2016

Dadah Bernilai RM14.3 Juta Dirampas, 11 Ditahan


Diterbitkan: Isnin, 18 Januari 2016 7:21 PM
Khalid (kanan) memeriksa barang rampasan daripada serbuan Pasukan Khas Taktikal dan Perisikan Narkotik (STING) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman yang dipamerkan pada sidang media, Isnin. Turut hadir Pengarah JSJN Bukit Aman Datuk Seri Mohd Mokhtar Shariff (dua,kanan). Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Polis merampas dadah syabu dan ecstasy bernilai RM14.3 juta dan menahan 11 warga tempatan, termasuk dua wanita dalam serbuan di empat lokasi di Negeri Sembilan dan Selangor, pada Ahad.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, polis juga merampas tiga pucuk pistol, selaras senapang angin, 75 butir peluru dan sebutir bom tangan dalam serbuan itu.
Turut dirampas, lapan kenderaan jenis Ford Ranger, Mercedes Benz, BMW dan Toyota serta wang tunai berjumlah RM36,410, katanya kepada pemberita di Bukit Aman di sini, Isnin.
Beliau berkata, Pasukan Khas Taktikal dan Perisikan Narkotik (STING) menjalankan serbuan di Mantin, Negeri Sembilan, dan Kuala Kubu Baharu, Sungai Pelek dan Puchong, Selangor. 
"STING juga menemui sebuah makmal mini bagi memproses syabu dan ecstasy di sebuah banglo di Mantin. Dadah yang dijumpai di keempat-empat lokasi itu dianggarkan seberat 180 kilogram," katanya.
Khalid berkata, suspek yang ditahan berumur lingkungan 32 hingga 65 tahun adalah anggota sindiket memproses dan mengedar dadah bagi pasaran tempatan dan Indonesia.
Seorang daripda mereka dipercayai merupakan dalang sindiket itu, katanya. 
"Kesemua mereka tidak mempunyai pekerjaan tetap dan ada di antara mereka mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan dadah," kata Khalid.
Polis percaya anggota sindiket itu bergiat aktif sebulan yang lalu dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952, katanya.
Khalid berkata, dalam tempoh dua minggu pertama tahun ini, polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM10.4 juta dan harta bernilai RM4.5 juta.
"Rampasan itu melibatkan tangkapan 8,347 orang, termasuk 285 warga asing," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment