JOHOR BAHRU - Polis berjaya mematahkan aktiviti pengedaran dadah di bandar raya ini dengan tertangkapnya seorang pengedar dadah dan menyita aset miliknya bernilai lebih setengah juta ringgit, Sabtu lepas.
Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata lelaki berusia 30 tahun itu ditahan di sebuah stesen minyak di Larkin dan seterusnya dibawa ke rumah suspek di Kempas.
"Suspek ini yang menjalankan aktiviti pengedaran dadah di sekitar Johor Baharu serta di Singapura ini mampu hidup mewah dan turut memiliki beberapa buah kereta mewah," kata beliau kepada pemberita di Ibu Pejabat Daerah Johor Bahru Selatan di sini hari ini.
Polis turut merampas antaranya 51 gram dadah jenis syabu, empat buah kereta mewah termasuk BMW dan sebuah motosikal Harley Davidson serta wang tunai, yang kesemuanya bernilai RM545,533.
Sulaiman berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang dua tahun atau denda tidak lebih RM5,000 jika sabit kesalahan. - Bernam
a