Search This Blog

Saturday, January 30, 2016

Cubaan seludup burung murai berharga RM1,000 seekor tumpas


30 Januari 2016 12:43 AM


JOHOR BAHRU 29 Jan. – Permintaan burung murai yang tinggi di Indonesia untuk jadikan haiwan peliharaan hingga mencecah lebih RM1,000 seekor menjadi antara penyebab kegiatan menyeludup haiwan tersebut masih dilakukan.
Burung murai tersebut mempunyai pelbagai kategori dan kebanyakan haiwan daripada spesies hidupan liar yang dilindungi itu diperoleh di negeri ini, Terengganu, Negeri Sembilan dan Pahang sebelum diseludup ke negara jiran.
Terbaharu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri mematahkan cubaan menyeludup 468 burung murai ke Batam, Indonesia di perairan Tanjung Lompat, Bandar Penawar di Kota Tinggi, malam semalam.
Dalam serbuan kira-kira pukul 9.30 malam itu, dua warga tempatan dan dua warga Indonesia ditahan semasa menjalankan aktiviti memunggah bakul-bakul berisi burung murai berkenaan ke dalam bot di kawasan perairan tersebut.
Penolong Pengarah Kanan Perhilitan negeri, Mohamad Suhaimi Sulaiman berkata, burung-burung tersebut dibawa dengan menggunakan dua kenderaan pacuan empat roda lalu dipindahkan ke dalam sebuah bot sebelum dibawa ke Batam, Indonesia.
“Menerusi siasatan, suspek utama yang bertanggungjawab dalam penyeludupan hidupan liar tersebut mengaku mengambil semua bekalan tersebut dari Johor, Terengganu, Negeri Sembilan, Pahang dan beberapa negeri lain.
“Mereka dibantu dengan penglibatan beberapa individu di negeri terbabit sebelum dibawa ke Indonesia secara haram dengan menggunakan jalan laut," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.
Menurut Mohamad Suhaimi, selain burung murai turut dirampas dua kenderaan berkenaan, sebuah bot dan enjin bot yang digunakan untuk kegiatan tersebut dan semuanya dianggarkan bernilai RM400,000.
Ujarnya, anggaran harga untuk setiap seekor burung murai batu antara RM300 hingga lebih RM1,000 bergantung kepada kua­liti, saiz dan permintaan burung berkenaan.
Katanya, menerusi penangkapan suspek utama tersebut pihak Perhilitan percaya berjaya menumpaskan sebahagian daripada rangkaian sindiket penyeludupan burung murai di negeri ini namun masih memburu beberapa individu lain yang terlibat.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan jika sabit kesalahan boleh didenda antara RM20,000 hingga RM50,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/cubaan-seludup-burung-murai-berharga-rm1-000-seekor-tumpas-1.184867#sthash.koB9zjkZ.dpuf

No comments:

Post a Comment