Search This Blog

Friday, January 15, 2016

Buru pencuri besi dan kabel

Sitiawan: Masalah kecurian besi penghadang dan kabel di Jambatan Raja Permaisuri Bainun, Kampung Bharu, di sini, yang menyebabkan kerugian lebih setengah juta diambil perhatian serius, termasuk memburu individu tidak bertanggungjawab itu.
Penghadang besi di kiri dan kanan di permulaan dan pengakhiran jambatan itu yang turut dikenali dengan nama Jambatan Sungai Dinding mempunyai kesan dipotong selain kabel Telekom Malaysia Berhad turut dicuri.
Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, masalah kecurian besi dan kabel di laluan jambatan itu akan diatasi segera .
Menurutnya, pihaknya juga menggesa Jabatan Kerja Raya (JKR) dan PDRM mengambil tindakan segera.
"Saya kesal dengan keadaan jambatan ini yang semakin teruk dengan masalah kecurian besi penghadang jambatan ini mencacatkan pemandangan jambatan yang boleh dikatakan antara jambatan tercantik di Perak.
"Bukan hanya besi dicuri malah kabel dan wayar turut dicuri sehingga menyebabkan laluan itu gelap tanpa lampu jalan," katanya selepas melawat Jambatan Permaisuri Bainun, di sini, hari ini.
Zambry berkata, tindakan segera akan diambil untuk mencari individu yang melakukan kegiatan itu.
"Saya sudah meminta Pegawai Daerah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Daerah untuk memantau dan mengambil tindakan segera selain pihak polis menubuhkan jawatankuasa untuk memburu individu atau kumpulan yang melakukan kerosakan harta benda awam.
"Tindakan segera perlu diambil kerana laluan ini dilalui ribuan pengguna dan kenderaan jika tiada jalan penyelesaian ia dikhuatiri akan mendedahkan pengguna kepada bahaya seperti kemalangan dan jatuh dari jambatan,"katanya.
Turut hadir lawatan selama setengah jam di Jambatan Permaisuri Bainun, di sini, ialah Pegawai Daerah Manjung Mohamad Fariz Mohamad Hanip, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung (MPM) Azizan Abd Muin, Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah dan Jurutera Daerah Manjung Ir Haslina Mohd Isa.
Terdahulu, Zambry menghadiri rumah terbuka bekas Ahli Parlimen Lumut Tan Sri Kong Cho Ha di Kampung Bintang, di sini, sempena Tahun Baru Cina.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisoner Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah berkata, pihaknya tidak menerima laporan rasmi berkenaan masalah itu dan meminta masyarakat tampil menyalurkan maklumat untuk membantu mengatasi masalah berkenaan.
Seorang penduduk, Sobrina Sobri,28, berkata,jambatan itu menjadi laluan utama yang menghubungkan mukim Pantai Remis dan daerah Taiping dengan bandar Manjung dan sentiasa padat dengan kenderaan memandangkan ia berhampiran dengan pusat bandar dan kawasan industri.
" Jika sebarang kejadian yang tak diingini berlaku di atas jambatan itu dikhuatiri akan mengakibatkan kenderaan atau pengguna terjatuh ke laut akibat besi yang menjadi penghadang di atas jambatan itu sudah hilang dan diharap pihak berwajib dapat mengambil tindakan segera," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Februari 2016 @ 7:19 PM


Zambry melihat penghadang besi jambatan Raja Pemaisuri Bainun yang dicuri. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/113507#sthash.1A56TZP1.dpuf

No comments:

Post a Comment