Pengarahnya, Mohd. Hasdi Husin berkata, mereka yang terdiri daripada warga tempatan itu dipercayai sedang menunggu bakal pe­langgan yang sedia membeli bangkai haiwan tersebut dengan harga yang tinggi.
“Bangkai harimau jantan itu didapati sudah dikerat empat bahagian manakala organ dalaman sudah dikeluarkan ketika ditemui dalam bilik air di rumah terbabit,” ujarnya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut beliau, harimau jantan itu yang dalam lingkungan usia 15 hingga 20 tahun dengan anggaran berat sekitar 100 hingga 150 kilogram dipercayai dijerat sebelum ditembak di kepala.
“Harimau itu dipercayai dibunuh antara Isnin hingga Selasa lalu sebelum diserbu sekumpulan tujuh anggota penguat kuasa hasil risikan dan maklumat awam,” ujarnya.
Mereka yang dalam lingkungan usia 50 hingga 60 tahun itu kini ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 68(2)(c) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak kurang daripada RM100,000 dan tidak lebih RM500,000 dan penjara lima tahun.
Beliau memberitahu, bangkai harimau itu boleh mencecah anggaran harga sehingga RM500,000 dalam pasaran gelap.