Search This Blog

Thursday, January 14, 2016

BMW antara dirampas dalam operasi JPJ

KHAMIS, 14 JANUARI 2016 @ 10:00 AM

Oleh Siti Rohana Idris bhkb@bh.com.my


PENGARAH JPJ Kelantan, Mahasan Mustapa (tengah) memeriksa BMW yang disita selepas ditahan dalam operasi malam tadi.

KOTA BHARU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan 113 saman atas pelbagai kesalahan selepas memeriksa kira-kira 300 kenderaan dalam operasi di Wakaf Siku dan Pasir Pekan, Tumpat, malam tadi. Pengarah JPJ negeri, Mahasan Mustapa, berkata daripada 113 saman itu, 58 saman adalah atas kesalahan tidak memiliki lesen memandu manakala selebihnya berkaitan lesen tamat tempoh dan kesalahan teknikal lain. Katanya, ada pemandu kenderaan mewah yang ditahan didapati tidak memiliki lesen memandu dan pengenalan diri. "Dalam sekatan yang diadakan selama tiga jam bermula jam 8 malam, kami merampas sebuah kenderaan jenis BMW yang disyaki kereta klon. "Ini kerana selepas pemeriksaan dilakukan, kami mendapati nombor casis kenderaan mewah yang dibeli dengan harga RM50,000 itu meragukan. Ia didapati tidak wujud dalam sistem pendaftaran kami dan kenderaan itu terpaksa disita untuk pemeriksaan lanjut," katanya kepada pemberita di sini. Operasi pertama tahun ini di dua lokasi berkenaan membabitkan 86 anggota. Operasi pertama membabitkan 86 anggota termasuk 16 anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) itu turut menahan empat individu dipercayai terbabit penyalahgunaan dadah. Penolong Pengarah AADK Kelantan, Aman Mustapha, berkata tiga daripada mereka positif Methamphetamin manakala seorang lagi ganja. "Semua yang ditahan berumur antara 21 tahun hingga 40 tahun. Mereka kemudian dibawa ke pejabat AADK untuk siasatan lanjut sebelum mendapat ikat jamin keluarga masing-masing," katanya.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/114126

No comments:

Post a Comment