Search This Blog

Monday, January 18, 2016

Beria-ia memancing

Jitra: “Arwah tak pernah pergi memancing sebelum ini, tetapi dia beria-ia mahu mengikut tiga rakannya, semalam (kelmarin) sebelum ditemui lemas pagi tadi (semalam).”
Begitu kata Samsiah Ismail, 66, ibu kepada Mohd Sobri Ghazali, 27, yang ditemui lemas di Sungai Bata berhampiran Taman Permai, Bandar Darulaman, dekat sini, semalam.
Mayat mangsa ditemui jam 8.54 pagi oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra yang dibantu Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kedah ketika operasi mencari mangsa dilakukan.
Mohd Sobri dari Kampung Manggol Gelugor, Bongor, Baling dipercayai terjatuh akibat diserang sawan jam 1 petang kelmarin ketika memancing bersama tiga rakannya di sungai berkenaan.
Kehilangan Mohd Sobri disedari apabila rakannya kembali daripada menyimpan ikan hasil tangkapan diperoleh di dalam kereta, sebelum menyangka mangsa ke rumah kakaknya di Taman Tunku Sarina berhampiran lokasi kejadian, namun tiada lalu membuat laporan polis.
Samsiah berkata, anak kelapan daripada sembilan beradik itu teringin hendak makan tebu ditanam di tepi rumah sejak dua hari lalu dan dia sempat makan dengan banyak.
Katanya, selain itu anaknya lebih banyak mendiamkan diri sejak beberapa hari lalu dan jarang keluar, tetapi tiba-tiba bersungguh-sungguh mahu mengikut rakannya pergi memancing, kelmarin.
“Pada mulanya mereka enggan membawanya tetapi dia (Mohd Sobri) nak ikut juga menyebabkan terpaksa mengalah, tetapi tak sangka pula itu petanda yang dia akan pergi buat selama-lamanya.
“Arwah masih bujang dan mempunyai penyakit sawan, namun kami sekeluarga reda dengan apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Jitra, di sini.
Difahamkan, Mohd Sobri bekerja sebagai pembantu makmal komputer di sebuah sekolah di Baling.
Sementara itu, Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Penolong Penguasa Bomba Mohd Izham Abd Rahim berkata, mayat mangsa ditemui di dasar sungai berkenaan, kira-kira enam meter dari tempat mangsa dilaporkan terjatuh.
Menurutnya, operasi mencari yang disambung jam 8.30 pagi semalam membabitkan seramai 10 anggota dari BBP Jitra, 16 anggota JPAM Kedah dan enam anggota polis di sekitar lokasi kejadian.
“Kira-kira 15 minit kemudian, mayat mangsa ditemui berpakaian lengkap di dasar sungai yang berkedalaman kira-kira 10 meter itu lalu diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi turut membabitkan sebuah bot, tiga jentera dan sebuah Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dari JBPM Kedah serta sebuah bot dan tiga jentera JPAM Kedah,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Superintendan Abd Rahim Abdullah mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan mayat mangsa dan mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 January 2016 @ 5:46 AM


ANGGOTA bomba mengangkat mayat Mohd Sobri yang ditemui di dasar Sungai Bata berhampiran Taman Permai, Bandar Darulaman.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/108174#sthash.ULBVu4QQ.dpuf

No comments:

Post a Comment