KUALA LUMPUR - Bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Yazid Sufaat yang didakwa terbabit dalam kegiatan menggalakkan keganasan, akan mengemukakan surat representasi ke Pejabat Peguam Negara supaya pertuduhan terhadapnya disemak semula.
Peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili, Yazid, 51, memaklumkan Hakim
Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Azman Husin bahawa pihaknya akan mengemukakan surat representasi itu esok.
Katanya, ia dibuat berdasarkan keterangan saksi semasa sesi soal balas dalam perbicaraan kes Yazid berhubung pertuduhan dihadapinya bersama pembantu kafetaria, Muhammad Hilmi Hasim, 35.
Yazid didakwa atas dua pertuduhan menggalakkan keganasan dengan niat menghasut orang awam di Syria dan menjadi anggota kumpulan Tanzim Al Qaeda Malaysia manakala Muhammad Hilmi dituduh bersubahat dengannya.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Bukit Ampang, Lembah Jaya, Ampang dekat sini antara 1 Ogos 2012 dan 7 Februari 2013 mengikut Seksyen 130KA Kanun Keseksaan (Akta 574).
Ia membawa hukuman penjara seumur hidup dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Tiada bantahan daripada pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria.
Mahkamah kemudian menetapkan 26 Jan ini bagi mengetahui perkembangan representasi itu. - Bernam
a