Search This Blog

Saturday, January 16, 2016

Bebas debu merah

Kuantan: Lengang. Itu keadaan di kawasan sekitar FELDA Bukit Goh, di sini, yang menempatkan beberapa lombong bauksit apabila pelaksanaan arahan pemberhentian selama tiga bulan aktiviti berkenaan bermula semalam.
Tiada lagi kelibat kenderaan berat yang mengangkut bahan mineral itu melalui jalan di kawasan perkampungan berkenaan, malah keadaan jalan yang dulunya diseliputi debu merah kini kembali bersih.
Tinjauan Harian Metro mendapati beberapa pusat pengumpulan bauksit yang sebelum ini sibuk dengan aktiviti pemunggahan bahan mineral itu kini sunyi dan dipasang palang bagi menghalang aktiviti dijalankan.
Biarpun kerajaan mengarahkan pengendali lombong berkenaan mengosongkan stok simpanan masing-masing pada 6 Januari lalu, namun ada antara mereka membiarkan timbunan bauksit di pusat pengumpulan.
Di satu sudut berhampiran jalan masuk ke perkampungan Bukit Goh, kelihatan beberapa kenderaan dan jentera berat diletakkan di kawasan terbabit dengan pekerjanya sibuk membersihkan dan membaiki kenderaan berkenaan.
Seorang pekerja yang enggan namanya disiarkan berkata, kawasan berkenaan bertindak seolah bengkel yang mana pemilik kenderaan menghantar lori dan jentera berat untuk dibaiki sebelum diambil semula.
“Sebelum arahan kerajaan (pemberhentian sementara) itu lagi, kami mengambil upah membaiki lori atau jentera seperti jentolak dan jengkaut yang rosak.
“Buat masa ini, masih ada kenderaan berat dihantar ke sini untuk dibaiki, namun selepas ini tidak tahu pula bagaimana keadaannya,” katanya.
Sementara itu, penduduk FELDA Bukit Goh Mohamad Isa, 62, berkata, ketiadaan lori bauksit yang dipandu laju gara-gara mengejar trip membolehkan dia memandu dengan selesa ke bandar ini atau ke tempat lain, selain kenderaannya lebih bersih berbanding sebelumnya.
“Sebelum ini, setiap kali balik ke rumah di FELDA Bukit Goh, saya perlu membasuh kereta untuk mengelak debu merah melekat, tetapi saya lega kerana keadaan kembali pulih.
“Ada juga sebelum ini saya menghantar kereta ke kedai cuci kenderaan jika debu merah agak tebal dengan harga RM15 dan memang banyak belanja. Saya harap dalam tempoh tiga bulan dan seterusnya, masalah bauksit dapat ditangani semua pihak dengan baik,” katanya.
Peniaga gerai makan Mariam Dollah, 66, pula bersyukur kerana masalah kebersihan iaitu pencemaran debu yang sebelum ini ditanggungnya sejak setahun lalu berakhir secara berperingkat.
“Kedudukan kedai di tepi pintu masuk utama lori mengangkut bauksit menyebabkan ia menjadi tumpuan pemandu untuk makan dan minum. Alas meja makan pula perlu dibersihkan setiap masa untuk keselesaan pengunjung.
“Alhamdulillah, kini semuanya semakin berakhir apabila kerajaan mengeluarkan arahan menghentikan sementara perlombongan bauksit,” katanya yang menjalankan perniagaan itu sejak 30 tahun lalu.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 January 2016 @ 7:16 AM


KAWASAN perlombongan bauksit lengang selepas pelaksanaan arahan pemberhentian bermula semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/107766#sthash.l7ql2CDd.dpuf

No comments:

Post a Comment