Search This Blog

Friday, January 15, 2016

Azilah serah petisyen pengampunan


Oleh Ahmad Johari Mohd Ali

KUALA LUMPUR: Bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Cif Inspektor Azilah Hadri menyerahkan petisyen pengampunan kepada Sultan Selangor terhadap sabitan dan hukuman mati oleh Mahkamah Persekutuan selepas didapati bersalah membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Peguam Datuk Hazman Ahmad mewakili Azilah yang mengesahkan perkara itu ketika dihubungi berkata, beliau menyerahkan petisyen berkenaan kepada Setiausaha Sulit Sultan Selangor pagi ini selepas mendapat arahan daripada anak guamnya.
Hazman berkata, petisyen yang diserahkan itu antaranya mengandungi rekod rayuan, nas perundangan dan nota keterangan kes.
Beliau berkata tiada had tempoh masa untuk mendengar petisyen itu dan ia terpulang kepada budi bicara Sultan.
Katanya, beliau selaku peguam bela akan dipanggil pada sesi pendengaran petisyen berkenaan, bagaimanapun anak guamnya tidak perlu hadir.
Hazman berkata, Lembaga Pengampunan berkemungkinan mengandungi lima atau enam anggota panel termasuk Sultan Selangor, Menteri Besar, Peguam Negara atau wakilnya dan anggota lain yang dilantik sultan.
Pada 13 Januari tahun lalu, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan sebulat suara mendapati Azilah dan Koperal Sirul Azhar Umar bersalah membunuh Altantuya dan menjatuhkan hukuman mati terhadap kedua-dua tertuduh.
Panel membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan melepas dan membebaskan kedua-dua tertuduh pada 23 Ogos 2013.
Mereka didakwa membunuh Altantuya di lokasi antara lot 12843 dan Lot 16735 Mukim Bukit Raja, Selangor antara jam 10 malam, 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober 2006, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori.
Azilah kini dipenjarakan di Penjara Kajang, manakala Sirul Azhar tidak hadir ketika keputusan Mahkamah Persekutuan dan dikatakan melarikan diri ke Australia.

No comments:

Post a Comment