Search This Blog

Monday, January 18, 2016

'Arwah pulang tergesa-gesa'

Dungun: “Arwah tergesa-gesa mahu pulang ke Terengganu walaupun isterinya meminta dia berehat dulu,” kata Mohamad @ Awang Embong, 72, bapa kepada Asulmi, 33, yang meninggal dunia dalam kemalangan di Kilometer 101.5, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Paka di sini, jam 6.30 pagi semalam.
Asulmi meninggal dunia selepas Perodua Myvi dipandu rakannya, Abd Azim Ab Wahab, 28, terbabas sebelum merempuh pokok.
Mangsa yang parah di tengkuk serta badan meninggal di tempat kejadian manakala Abd Azim cedera dan kini dirawat di Hospital Dungun.
Mohamad berkata, arwah anaknya itu yang dinaikkan pangkat sebagai kapten kapal sebuah syarikat perkapalan sejak setahun lalu baru pulang dari Batam, Indonesia selepas diarahkan majikannya untuk menguji kapal di sana.
“Arwah bersama Abd Azim bertolak ke Batam dengan feri Rabu lalu untuk menguji kapal. Sebaik selesai kerja di sana, mereka pulang ke Johor pada Sabtu.
“Arwah sempat menziarah isterinya yang bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan FELDA Nitar di Mersing, Johor,” katanya ketika ditemui di Hospital Dungun.
Menurut Mohamad, pada pertemuan itu, menantunya melarang arwah terus pulang ke Terengganu sebaliknya meminta dia dan Abd Azim tidur semalaman di sana.
“Bagaimanapun, arwah tetap berkeras mahu pulang biarpun kedua-duanya masih letih berikutan baru kembali dari Batam,” katanya.
Warga emas itu berkata, dia menerima panggilan daripada majikan anaknya jam 10 pagi semalam memaklumkan kejadian terbabit.
“Kira-kira 15 minit selepas menerima panggilan itu, saya dimaklumkan anak sudah meninggal dunia. Saya terus berkejar ke Hospital Dungun,” katanya.
Menurut Mohamad, dia sedih kerana mengenangkan cucunya yang berusia dua tahun dan masih memerlukan kasih sayang seorang bapa.
“Saya bertambah sedih bila memikirkan menantu sedang hamil dua bulan. Kali terakhir saya bertemu arwah ialah pada Rabu lalu ketika dia pulang ke kampung. Arwah berkelakuan seperti biasa dan tidak menunjukkan sebarang perubahan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Ahmad Zailani Yaakub berkata, lapan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Paka mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk penumpang depan.
“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 January 2016 @ 5:56 AM


ANGGOTA polis menyiasat kereta dinaiki Asulmi (gambar kecil) yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 101.5, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Paka, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/108184#sthash.cLwd4OFa.dpuf

No comments:

Post a Comment